Kita masih berada di dalam suasana sambutan Hari Ibu dan akan datang pula, sambutan Hari Bapa dan saya masih ingin memperkatakan mengenai kedua-dua insan yang amat besar pengorbanan mereka terhadap kita yang bernama anak.
Ingat lagi Nur Amalina Che Bakri? Menitik air mata saya menyaksikan kejayaan beliau yang telah berjaya memecahkan rekod pendidikan negara dengan mencatat kejayaan membanggakan apabila memperolehi 17A1 di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Walaupun artikel saya ini disiarkan setelah lebih dua bulan berita kegemilangan Nur Amalina menggegarkan negara, namun saya yakin ingatan pembaca semua masih segar dengan cerita beliau. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa saya menitiskan air mata? Entahlah, memang sukar diceritakan tetapi apa yang pasti saya berasa cukup bangga dengan kejayaan beliau dan bayangkanlah perasaan Puan Sabariah Hassan, ibu Nur Amalina, sudah pasti lebih sukar untuk diterjemahkan.
Walaupun kebiasaannya kejayaan anak-anak di dalam peperiksaan dikaitkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan mungkin juga kerana susah payah para guru tetapi jerih perih para ibu dan bapa pelajar tersebut tetap perlu diperhatikan. Saya yakin, ibu Nur Amalina malahan semua ibu di luar sana bersetuju bahawa peranan kitalah yang lebih menyumbang ke arah kejayaan anak-anak. Kenapa? Kerana kita memainkan peranan yang besar di dalam pembesaran dan pendidikan anak-anak.
Tugas mendidik dan membesarkan anak sememangnya tanggungjawab kedua-dua pihak suami dan isteri. Namun, bersesuaian dengan karektor sebagai insan yang mengandungkan, insan yang melahirkan, insan yang menyusui, insan yang membesarkan… memang tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab dan tugas menentukan kualiti seseorang anak lebih terletak di bahu seorang ibu. Bukannya saya menafikan peranan bapa tetapi peranan ibu adalah lebih utama tak kira ibu itu suri rumah sepenuh masa ataupun ibu yang bekerjaya. Mungkin juga lantaran tanggungjawab inilah, rata-rata keluarga sekarang ini lebih senang mempunyai bilangan anak yang sedikit.
Saya tidak menafikan bahawa ada isteri dan ibu yang mampu mendidik anak-anak yang ramai hatta lapan, sembilan orang malahan ada yang lebih lagi, menjadi insan yang berkualiti. Tetapi kebanyakan ibu ini adalah suri rumah sepenuh masa. Bagi yang bekerjaya, pertimbangkan kemampuan anda. Jika anda mampu, silakanlah. Jika tidak, pandai-pandailah bertindak. Memang Rasulullah s.a.w berbangga dengan umatnya yang ramai tetapi kebanggaan hanya bagi umat yang berkualiti. Yang tidak berkualiti hanya merosakkan agama.
Ingat… anak-anak adalah amanah daripada Allah yang perlu kita jaga, yang perlu kita didik, yang perlu kita belai dan pupuk menjadi insan yang berkualiti di dunia dan di akhirat juga. Anak-anak bukan tempat kita melampiaskan nafsu serakah, anak-anak juga bukan tempat kita melepaskan rasa marah. Saya teringat satu emel yang pernah saya terima kira-kira sebulan lepas. Seorang wanita bekerjaya meluahkan rasa hatinya yang dia sendiri sukar mengerti. Katanya, dia tidak tahu mengapa tetapi apa yang dia sedar, dia sering rasa geram dan marah pada si anak yang hanya berusia tiga tahun dan si anak sering menjadi mangsa pukulannya. Saya beristighfar panjang selepas membaca emel tersebut dan tidak pernah saya menjawab sesuatu emel dengan kadar segera tetapi emel tersebut saya jawab sejurus selepas saya terima dan mengharapkan pengirim emel menghubungi saya namun hingga artikel ini ditulis, beliau masih tidak menghubungi saya. Andai anda membaca artikel ini, hubungilah saya segera kerana kita perlu berbincang.
Sememangnya kes ini amat memberi kesan pada diri saya kerana ianya melibatkan anak-anak kecil. Anak-anak yang tidak mengerti apa-apa. Anak-anak yang sentiasa mengharapkan perhatian, belaian dan kasih sayang daripada kita. Anak-anak ini tidak pandai meluahkan rasa hati kecuali melahirkan emosi tersembunyi melalui tangisan, hilai tawa, bermasam muka dan sesekali mereka juga memberontak melawan kita. Awas!! Jangan cepat melatah… apa yang mereka lakukan adalah demi mengharapkan perhatian kita. Kita yang perlu memantapkan diri dengan jati diri yang kukuh dan utuh bagi memahami kerenah dan telatah mereka.
Bukan sekadar si kecil malahan anak-anak yang sedang meningkat remaja juga memerlukan perhatian kita. Kita juga masih perlu memantau perkembangan mereka termasuk segala aktiviti luar mereka. Anak-anak di dalam usia sebegini mempunyai lebih banyak ranjau dan onak yang perlu diharungi. Perhatian kita akan menyelamatkan mereka daripada terhumbam ke jurang yang dalam dan tak bertepi.
Sesungguhnya, cahayamata adalah anugerah Ilahi yang paling besar di dalam hidup sepasang suami isteri. Namun, kesediaan memiliki cahayamata dan kemampuan menjadikan anak-anak insan berguna kepada agama, bangsa dan negara perlu diambil kira. Lantaran, penuhkan dada dengan ilmu keibubapaan kerana satu hari nanti, anak anda akan turut menjadi kebanggaan semua.
Emakku, Che Su Md Isa dan bapaku, Ghazali Ebramsa, terima kasih kerana mendidikku dan tujuh adik-adikku menjadi insan. Terima kasih juga kerana menjadikan diri kalian idolaku. Ayuni Syafiqah dan Azfar Suhail kesayangan Ummi, moga satu hari nanti kalian akan menjadi anak-anak soleh dan solehah, harta peninggalan Ummi selepas usia dijemput pergi mengadap Ilahi. Amin!!
****Siaran Jun 2005